Konflik 40 tahun berakhir

NAJIB Tun Razak dan Benigno Aquino III menyaksikan detik bersejarah pertukaran dokumen Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro antara wakil kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen (depan, kanan) dengan wakil Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher Iqbal (depan, kiri) di Istana Malacanang, Manila, semalam.

MANILA 15 Okt. – Proses penubuhan entiti baru wilayah autonomi Bangsamoro secara rasmi bermula hari ini apabila Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro dimeterai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Istana Malacanang di sini tepat pukul 3 petang ini.

Detik-detik penuh bersejarah itu yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Benigno Aquino III, merupakan tanda persetujuan kedua-dua pihak untuk menamatkan konflik berdarah lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina itu yang telah meragut lebih 120,000 nyawa.

Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro setebal 13 muka surat itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu mengenai penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.

Mengenai penubuhan entiti baru itu, Bangsamoro akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan ia diharap menjadi realiti menjelang 2016, iaitu sebelum penggal pemerintahan Aquino III berakhir.

Berkaitan kuasa kedua-dua pihak, perjanjian itu antara lain mengakui keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah itu.

Turut menyaksikan upacara itu bagi pihak MILF mewakili penduduk wilayah selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam adalah pengerusinya, Murad Ebrahim.

Perasaan gembira Murad bersama sekumpulan pemimpin dan perwakilan lain MILF yang turut dijemput pada upacara di dalam Dewan Rizal di istana itu dengan sebahagiannya menitiskan air mata kesyukuran, pasti dikongsi penduduk wilayah baru Bangsamoro yang mengimpikan kehidupan lebih selamat, sejahtera dan terbela.

Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Panel Perundingan MILF, Mohagher Iqbal dan rakan sejawatannya daripada pihak kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen. Ia turut ditandatangani sebagai saksi perjanjian oleh fasilitator perundingan dari Malaysia, Datuk Tengku Ab. Ghafar Tengku Mohamed.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet Filipina dan Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu dan Penasihat Presiden bagi Proses Perdamaian, Teresita Quintos-Deles.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu selatan Filipina khususnya menawarkan latihan dan pendidikan supaya masa depan anak-anak di Bangsamoro lebih terjamin.

Beliau memberi jaminan kepada keseluruhan rakyat Filipina bahawa Malaysia bersama-sama negara ini ke arah merealisasikan pelaksanaan perjanjian yang dimeterai hari ini.

“Hari ini, sesuatu telah berubah. Hari ini kita akan meninggalkan keganasan dan beralih ke arah masa depan yang baru dan lebih cerah,” katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh kira-kira 500 tetamu yang hadir termasuk diplomat asing.

Presiden Aquino III dalam ucapannya selepas itu pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan usaha perundingan sehingga termeterainya perjanjian tersebut termasuk kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi komitmen tinggi.

Utusan

About Patani Merdeka
We are one of those organizations who work for humanitarian assistance for the Patani inhabitants not being part of the government but as a private organization, we would be welcoming any news, articles, comments, and video footages regarding Patani region of the Southern Thailand to be published for the purpose to aware the global community in this website

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: